Saturday, 11 August 2012

TIPS PULANG KE KAMPUNG

PANDU BERHATI-HATI...ELAKKAN TRAGEDI



Menjelang Hari Raya Idil Fitri, pastinya masing-masing bersiap sedia untuk pulang ke kampung. Bagi yang tiada kampung, tentunya akan melawat rakan taulan. Justeru itu, berikut adalah panduan sebelum memulakan perjalanan yang saya garap dari pengalaman sendiri dan perkongsian rakan-rakan.

Beberapa perkara yang diharap menjadi panduan kepada saudara/i apabila ingin berjalan jauh;
1. Pastikan lampu suluh sentiasa ada dalam dashboard dan berfungsi. Sebaiknya sediakan 2 unit.
2. Mempunyai pemantul cahaya 'triangle'. Ia perlu diletak dalam jarak 10 - 30 meter di belakang kenderaan apabila berlaku breakdown.
3. Mempunyai talian telefon bimbit yang luas liputannya. Sebaiknya ada 2 jenis talian telco. Kalau ada Radio Amatur lagi bagus.
4. Payung.
5. Air kosong dan makanan seperti biskut.
6. Servis kenderaan sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan. Servis di sini maksudnya buat pemeriksaan kenderaan secara menyeluruh (enjin, tayar dan tayar spare dan lain-lain) dan bukan sekadar tukar minyak pelincir dan penapis sahaja.


Apabila berlaku kecemasan seperti tayar pancit, berhentikan kereta di tepi kawasan yang selamat. Hidupkan hazard light* dan tutup atau kecilkan lampu kereta. Kenalpasti status kerosakan. Seterusnya hubungi pihak auto assist yang sewajarnya anda langgan. Jika kereta baru, lazimnya dah ada disediakan talian 24 jam. Maklumkan lokasi breakdown.

Jika kecemasan berlaku semasa memandu di lebuhraya dan anda perlu berhenti di lorong kecemasan, pastikan keluarga anda berada di luar pagar keselamatan. Bukan berhampiran kenderaan.

Sering juga saya lihat kenderaan berhenti di tepi jalan kerana si ibu membuat susu anak atau anak nak kencing. Cubalah seboleh mungkin berhenti di kawasan yang jauh sedikit dari laluan kenderaan atau selekoh jalan.

Pastikan saudara/i sentiasa awas (alert) dengan persekitaran. Kunci kereta dan jika ada yang singgah bertanya khabar, buka sedikit sahaja cermin kereta.

*sebab itulah hazard light tidak dipasang semasa anda memandu kereta dalam hujan kerana ia sebenarnya mengisyaratkan bahawa kenderaan sedang pegun (tidak bergerak). Jangan kelirukan pemandu lain!

Jika kecemasan berlaku di waktu malam, terutamanya jalan yang sunyi dan terpencil, hubungi 999 dan maklumkan lokasi. Mereka akan menghantar kereta peronda untuk menemani anda sehinggalah bantuan/tow truck tiba.

Jika anda melanggan perkhidmatan yang disediakan jenama kereta yang anda beli (kereta baru), tunggu sehingga trak tersebut tiba. Jika ada tow truck lain, jangan ambil walau dengan apa cara sekalipun kecuali melibatkan hidup atau mati. Perayu trak tunda akan provoke saudara/i dengan macam-macam cerita bertujuan agar saudara/i guna servis mereka. Dalam hal ini, mental kena kuat. Kena banyakkan bersabar. Mengambil khidmat tow truck yang tidak dilanggan untuk kereta anda akan menyebabkan banyak karenah dan masalah timbul apabila anda nak membuat tuntutan insuran dan juga apabila nak keluarkan kereta.

Jangan lupa hubungi saudara terdekat dan maklumkan status saudara/i. Jika ada GPS, maklumkan koordinat GPS.
(Saya agak hairan kenapa pihak trak tunda/auto assist/999 tak ada sistem GPS untuk mengesan lokasi? - betulkan saya jika saya salah).

Lain-lain
Bacaan
Bacalah ayat-ayat al-quran serta doa memulakan perjalanan.

Co-Pilot
Ya. Semasa memandu kereta, anda juga perlu co-pilot. Berbual akan mengurangkan perasaan mengantuk. Biasanya isteri. Di sini untung jika ada isteri yang 'mulut banyak'.
Jika memandu keseorangan, anda boleh kunyah gula-gula getah, makan kuaci. Saya pula gemar kunyah keropok yang belum digoreng Smile

Muzik
Memainkan lagu-lagu perlahan dapat menenangkan perasaan semasa memandu. Tapi kalau dah penat, ia boleh melenakan dan 'menghanyutkan' anda. Maka, pasanglah lagu-lagu rancak.


Perhentian
Berhenti rehat di tempat yang dikhaskan (R & R) atau lokasi yang selamat. Elakkan berhenti di tempat terpencil terutamanya di waktu malam. Bukan bermaksud 'superstitious', tapi tanyalah pada mereka yang pernah alami. Banyak cerita telah didengari.


Insiden
Jika ada insiden kemalangan dan anda ada upaya untuk membantu, pastikan keselamatan pada diri anda dan keluarga terlebih dahulu. Jangan terlalu 'excited' ingin membantu sedangkan boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan keluarga.

Akhir sekali, pakai tali pinggang keledar bagi penumpang depan dan juga bagi penumpang belakang. Jangan pandang ringan kerana anda 'memang' pemandu berhemah. Tapi bagaimana dengan pemandu lain?

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dan keluarga.


SELAMAT HARI RAYA

MAAF ZAHIR & BATIN



Thursday, 9 August 2012

SENTIASA MENGINGATI ALLAH WALAU DIMANA KITA BERADA








 Sebelum memulakan perjalanan bacalah doa ini..Semoga sentiasa dilindungi Allah walau dimana jua kita berada...InsyaAllah selamat(^_^)

BERHATI-HATI DI JALANRAYA


Ini salah satu video yang memaparkan kemalangan yang berlaku di jalanraya.Sama-sama kita ambil iktibar di atas apa yang berlaku, dan sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban...

AKIBAT TIDAK BERADAB KETIKA MENAIKI KENDERAAN

                    KEMALANGAN DI TEMPAT LETAK KERETA
Ia boleh berlaku disebabkan KECUAIAN pemandu dan juga KURANG KEMAHIRAN dalam pemanduan.


                                           KESESAKAN LALU LINTAS
Ia boleh berlaku disebabkan berlakunya KEMALANGAN atau bilangan kenderaan yang semakin BANYAK, kebiasaannya ia berlaku ketika waktu-waktu kemuncak seperti habis bekerja,cuti umum.


                              KEROSAKAN/KEBAKARAN KERETA
Ia boleh berlaku disebabkan tidak melakukan PEMERIKSAAN KENDERAAN sebelum menggunakannya.

KELEBIHAN BERADAB KETIKA MENAIKI KENDERAAN

Inilah kelebihan yang akan kita dapat sekiranya dapat mematuhi peraturan jalanraya dengan baik dan beradab ketika menaiki kenderaan...

ADAB BERKENDERAAN

 Penerangan 3 daripada 6 Adab Berkenderaan

Adab Menaiki Kenderaan 1: Kenderaan yang digunakan selamat dan sempurna.

Sebelum memulakan perjalanan,pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik..terutama pada musim perayaan nanti,mungkin ada sebahagian daripada kita tidak mengambil berat tentang keadaan kenderaan mereka untuk pulang ke kampung, waima perjalanan yang dekat.Tetapi mereka harus sedar dengan ketidak prihatinan mereka kepada kenderaan yang di pandu,di naiki boleh mendatangkan masalah kepada pengguna jalanraya yang lain seperti kesesakan lalulintas..Jadi,pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik  supaya kita dapat sampai ke tempat yang di tuju dengan lancar dan selamat.

Adab Menaiki Kenderaan 2 : Beratur mendahulukan yang lebih tua.

Bagi mereka yang pulang ke kampung pada musim perayaan nanti, terutama kepada pengguna pengangkutan awam, seperti bas,komuter,LRT dan sebagainya.. apa yang perlu anda lakukan sekiranya melihat orang tua berdiri???Melihat sahaja atau memberi peluang mereka duduk di tempat anda??Anda harus memberi peluang untuk mereka duduk,itu  adalah salah satu cara kita menghormati mereka.Lagi-lagi pada bulan puasa begini.InsyaAllah..pasti ada yang tersenyum...(^_^)

Adab Menaiki Kenderaan 3: Mematuhi peraturan jalanraya.

Setiap pengguna jalanraya mestilah patuhi peraturan jalanraya dengan baik agar tidak menimbulkan sebarang masalah seperti kemalangan, kesesakan lalulintas dan sebagainya.Antara contohnya, anda mestilah memberi isyarat untuk memasuki lorong,berhenti di lampu isyarat sekiranya merah, membawa mengikut had laju yang ditetapkan dan tidak memandu dalam keadaan mengantuk.Rehatlah sebentar sebelum anda meneruskan perjalanan semula..Ingatlah orang yang tersayang.


Wednesday, 8 August 2012

Amalan 10 Surah yang Mustajab


 

SURAH YAASIN

Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur’an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur’an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur’an seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.) Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “At-Mu’ammah” (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban). Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

SURAH AD-DHUHAN

Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

SURAH AL-WAQI’AH

Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi’ah pada tiap-tiap malam, insya’Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat As ar, insya’Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.

SURAH AL-KHAUTHAR

Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya’Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.

SURAH AL-KHAAFIRUUN

Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur’an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

SURAH AL-MULK

Sebuah lagi Surah dari Al-Qur’an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya’Allah, akan terselamat dari azab kubur.

SURAH AL-IKHLAS

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya : “Wahai Aisyah isteri ku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur’an.” Siti Aisyah lalu berkata, “Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur’an sebanyak 30 juzuk itu.” Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, “Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur’an keseluruhannya. ” Dari Rasulullah s.a.w.. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., “Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : “Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat.”

SURAH AL-FALAQ

Siti Aisyah menerangkan : “Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.

SURAH AN-NAS

Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur’an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati